Ahad, 15 Februari 2015

AROWANA


Assalamualaikum....



Tahun 2015 telah tiba, nampaknya umur pun semakin meningkat dan semakin berusialah jawapnya. Ikan arowana atau kelisa pastinya mempunyai peminat yang tersendiri. Lintuk liuk badanya serta pantulan cahaya dari sisiknya pastinya membuat anda terpegun, tapi jangan anda lupa itulah salah satu kebesaran sang pencipta-Nya iaitu ALLAH TAALA..

Awal tahun 2000 populariti ikan arowana agak menurun dengan kehadiran ikan berdahi benjol ( flower horn ), ada harganya yang mencecah sehingga RM 40k. Hari ini ikan flower horn sudah tiada lagi nilainya...kalau tanya tokey kedai ikan semua geleng kepala, itu ikan orang sudah tidak mau, jadi jangan hairan kalau mancing kat tasik atau lombong dapat ikan flower horn.

Ramai yang beranggapan ikan arowana susah nak jaga, manja dan sebagainya, tapi sebelum buat satu-satu benda pasti ada risikonya. Saya mula membela arowana pada tahun 2012 dengan membeli seekor banjar red tail arowana dengan harga RM 440 ( F 2 ) ,masa itu ilmu tak ada,ingat dah murah la padahal punyalah mahal. Ikan tersebut mempunyai sijil dan diimport terus dari kalimantan. Sayangnya sudah ditakdirkan hayat ikan tersebut tidak lama, mati disebabkan kesilapan saya sendiri....sebabnya nanti akan diceritakan.

Merajuk kejap dengan arowana dengan membela ikan kaloi,puyu dan lampam, yang tak tahan kuat makan, air cepat kelabu dan berbau. Tak tahan tukar ikan haruan, spesis yang memang brutal dan tahan lasak tapi satu kurang. Malas nak berenang, suka duduk diam. Aktif berenang bila banyak makanan terutama anak ikan. Rasanya makan dah cukup tapi saiz macam itu jugak....

Setiap kali membeli anak ikan untuk makanan ikan haruan, pastinya kelibat arowana tetap menjadi perhatian, seronok melihat aksinya-aksinya yang melintuk lintuk.....tapi hati kata sabar dulu, cedok ilmu banyak-banyak. Terima kasih juga kepada group facebook Ikan Kelisa & Arowana dan blog-blog individu yang banyak berkongsi maklumat dan minat tentang ikan arowana.

PERALATAN ASAS 

Aquarium
Nak bela ikan mestilah ada aquarium. Kalau boleh belilah aquarium bersaiz 3kaki X 1.5kaki dan keatas sebab dari pemerhatian saya saiz aquarium membantu mempercepatkan kadar pembesaran ikan anda. Ikan arowana sememangnya cepat membesar jika diberikan makanan yang cukup dan berkahsiat. Bayangkan jika diri anda dikurung dalam bilik yang cukup-cukup untuk saiz anda, selesa atau tidak. Kebiasaannya aquarium didatangkan dalam pakej lengkap seperti penutup, pam dan stand..jadi tepuk poket tengok bajet anda.

Penapis ( Filteration )
Penapis air sangat penting untuk memastikan arowana anda mendapat air yang terbaik. Banyak jenis penapis, ada yang tergantung diatas aquarium, ada yang tenggelam didalam aquarium dan yang diluar aquarium. Untuk penapis jenis top media penapis seperti kapas atau span sudah memadai. Jika ada bajet lebih tukar satu kali dalam tempoh 2 minggu. Jika ditanya jenis apa yang terbaik sudah pastilah jenis canister. Jenis canister sememangnya lengkap dengan media penapis dan paling penting lengkap dengan media yang meningkat dan menjaga mutu air. Jika tiada modal gunakalah top filter dan menjadi kewajipan untuk menservis media penapis setiap minggu.

Pam
Pam aquarium wajib ada. Berfungsi untuk mengepam dan mengasingkan kotoran seperti tahi ikan lebihan makanan pam juga membekalkan oksigen terlarut dalam air. Jika aquarium bersaiz 3 kaki hingga 4 kaki carilah pam yang mampu mengepam air 2700 liter sejam dan keatas. Pakai 3500 liter pun ok, cuma power sangat, sampai ikan bandaraya pun kena sedut. Saya lebih suka menggunakan pam yang ditenggelamkan di dasar aquarium kerana pam jenis ini kerana ia menghasilkan arus yang secara tidak langsung memberikan rangsangan kepada ikan. Dalam kata lain ikan aktif kerana sentiasa bergerak    ( berenang ). Teori sendiri....

* Satu inlet untuk menyedut kotoran ke penapis dan satu outlet untuk menyalurkan oksigen kedalam air.

Garam aquarium
Agak pelik kerana arowana ikan air tawar kenapa perlu garam, tetapi itulah hakikatnya, tanpa garam pasti terbalik keatas arowana anda. Tiada spesifik garam yang terbaik untuk arowana anda, garam biasa pun letak. Menurut pandangan seorang pemilik kedai menjual arowana garam terbaik ialah garam kristal. Jika aquarium anda bersaiz 4 kaki sudah memadai jika meletakkan 2 genggam garam kedalam aquarium anda. Letak 3 genggam pun ok.



Anti klorin / Tension Gone
Jangan lupa anti klorin. Air paip sememangnya mengandungi klorin, arowana anda pasti terbalik jika tiada anti klorin. Saya lebih suka menggunakan Tension Gone sebabnya dua dalam satu. Pertama ia menghilangkan unsur klorin dan yang kedua untuk menenangkan ikan. Arowana cukup sensitif dengan perubahan sesuatu tempat. Sikap arowana boleh menjadi agresif sehingga mencederakan badannya dan lebih parah lagi arowana boleh mati. Perlu dijauhkan dari mereka yang selalu tension....gurauan sahaja



PERALATAN SAMPINGAN

Ph Test Kit
Ramai yang tidak peka atau tentang kualiti air terutama dari segi ph air. Arowana hidup memerlukan air yang beralkali sekitar 5.5 - 7. Hasil dari nasihat kawan-kawan saya mencadang ph test kit dari jenis API. Keputusan tepat dan murah. Jika ph air turun sebenarnya tidak menjejaskan kesihatan ikan cuma ikan hilang selera makan jadi malas dan jika silap ikan boleh mati... itu pun jika sampai ajalnya. Test ph air aquarium anda sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.



Bio Ring / Ceramik Ring / Bio Ball
Mengikut pengalaman dari group ikan kelisa dan arowana agen-agen diatas mampu memberikan kesan terhadap kualiti air terutamanya dari segi kejernihan air dan oksigen terlarut dalam air. Dari segi keberkesanannya saya no komen, lagi pun bukannya keperluan asas pun.. ( sekadar pandangan sahaja )



Sea Coral
Tahap ph air semestinya akan menurun dari masa kesemasa disebabkan tahi ikan dan lebihan sisa makanan. Jangan panik, letakkan coral kedalam aquarium anda dan biarkan lebih kurang 48 jam. Hasilnya air yang sebelumnya menunjukkan ph yang rendah kembali menjadi normal. Sebelum itu basuh dan rendam seketika coral untuk membuang sisa pasir yang melekat pada coral. Keluarkan coral setelah ph air aquarium anda kembali normal.

Heater
Dah nama pun heater mestilah untuk memanaskan air. Heater bukanlah aksesori wajib, tapi wajib ada jika ikan anda sakit. Perubahan sikap arowana jelas ketara ketika musim hujan. Ikan banyak berdiam dan menyembunyikan diri pada musim hujan. Berkemungkinan suhu air jatuh. Setkan suhu air sekitar 28 darjah celcius sehingga 32 darjah celcius.


Uv light
Bertindak untuk menghalang lumut / alga hidup dalam aquarium. Bukan menjadi pilihan saya, lagi pun aquarium saya terlindung sepenuhnya dari cahaya matahari.

Vitamin
Bukan manusia juga perlu vitamin tapi ikan pun nak vitamin juga. Banyak vitamin untuk ikan anda dipasaran, bagi saya jika ikan diberi makan yang cukup dan berkhasiat, monitor parameter air, rajin tukar air ( sekurang-kurangnya 2 minggu sekali ), InsyaAllah ikan anda sihat dan aktif.

MEMILIH AROWANA

Saya sebenarnya bukanlah arif dan mahir untuk memilih baka arowana terbaik, dan hingga kini saya masih mencari dan berkongsi maklumat untuk mendapatkan baka yang terbaik. Untuk permulaan ramai yang mencuba membela arowana perak atau hijau kerana harganya murah, saiz 3 - 5 inci dibawah RM 100 sahaja. Itu memang betul, tapi jika anda terlihat arowana dari spesis lain pastinya anda terkedu seketika, kalau aku tahu baik bela baka ini dari awal, baru puas hati.
Saya mencadangkan untuk mereka yang mula membela arowana macam saya membeli dari spesis highback gold. Spesis ini paling murah dari kalangan arowana gold yang lain.Di kedai ikan saiz dari 5 - 7 inci boleh didapati sekitar RM 300 - RM 400 sahaja, manakala di online seperti mudah, arowana beeding center dan lain-lain harga mungkin lagi murah, anda boleh pilih dimana yang anda suka..
SETTING AQUARIUM 
Sebelum melepaskan arowana, tips atau peringatan tersebut saya kongsikan, itu pun sekadar perkongsian dan ilmu dari mereka-mereka yang sudah lama membela arowana.
  1. Letakkan aquarium disudut rumah yang bersesuaian supaya rumah tidak nampak serabut. Buat pendawaian elektrik khusus untuk set aquarium. Keadaan wayar yang serabut cukup merbahaya kepada anda dan lebih merbahaya kepada anak anda.
  2. Masukkan air kira-kira 80 % dari ketinggian aquarium. Hidupkan pam dan biarkan sistem pam dan penapisan berfungsi sekurang-kurangnya untuk 2 hari. Lagi lama lagi bagus terutama untuk setup aquarium baru.
  3. Tukar air dan masukkan garam dan tension gone. Kuantiti garam dan tension gone telah diterangkan terdahulu. Untuk ketinggian aquarium 1.5 kaki saya meletakkan air setinggi kira-kira 80% ketinggian aquarium. Sebabnya jika air yang diisikan rendah jarak air yang turun dari penapis agak tinggi. Berkemungkinan arowana boleh terganggu.( itu pendapat  saya ).
  4. Biarkan set aquarium anda berfungsi kira-kira selama 2 hari. Sehari sebelum memasukkan arowana lebih baik lepaskan anak-anak kap yang bersaiz kecil kedalam aquarium anda. Jika anak-anak ikan itu hidup InsyaAllah arowana anda juga akan hidup.
  5. Arowana yang dibeli pastinya diletakkan didalam beg plastik yang dipamkan gas oksigen kedalamnya. Setibanya dirumah jangan terus tuang arowana anda kedalam aquarium, rendam beg plastik yang mengandungi arowana kedalam aquarium anda. Jika jarak kedai dan rumah anda kira-kira 1 jam perjalanan biarkan begplastik didalam aquarium dalam anggaran 30 minit. 
  6. Sebenarnya saya sendiri pun confius mana satu petua yang betul, ada yang mengatakan jika perjalanan arowana jauh ia memerlukan kira - kira lebih dari 1 jam direndam didalam aquarium. Buka getah yang mengikat plastik beg dan masukkan sedikit-sedikit air aquarium kedalam beg plastik dan biarkan kira-kira 15 minit.
  7. Perlahan - lahan lepaskan arowana didalam beg plastik kedalam aquarium. Ada kalanya arowana berenang tak tentu hala, biarkan ia tenang dan jangan ketuk cermin .Puasakan ikan dalam tempoh 1 - 2 hari.
PEMAKANAN AROWANA

Cengkerik
Menu terbaik untuk arowana. Selain murah ia lengkap dengan nutrisi yang diperlukan oleh arowana.( ambik info dari blog orang lain ) Cengkerik juga tidak tenggelam didasar aquarium yang boleh menyebabkan sindrom dropeye. Carilah cengkerik yang muda ( tiada sayap ). Saya lebih suka membuang bahagian kaki yang tajam sebab berkemungkinan boleh mencederakan sistem pencernaan arowana. Keduanya cengkerik tak boleh melompat bebas, boleh bubuh cengkerik dalam bekas terbuka ( dalam bekas tuperware biasa ).Elakkan dari membeli cengkerik yang bersaiz tidak seragam sebab cengkerik merupakan spesis kanibal dan jika dikurung dalam bekas,kalau mati dia punya bau.....boleh pengsan. Di kuantan RM 1 cengkerik dapatla 40 ekor, boleh tahan 3 - 4 hari. Cebisan kertas dijadikan makanan cengkerik. Ada teori nak mencantikkan sisik arowana bagi cengkerik makan lobak merah...betul atau tidak, boleh cuba.



Ulat Roti
Menu kedua pilihan saya. RM1 dapatlah 15 - 20 ekor ulat bersaiz besar. Antara menu yang boleh menjadikan arowana anda cepat besar, tapi jangan bagi selalu takut-takut nanti cepat gendut. ( teori ciptaan sendiri )


Anak ikan
Menu terakhir jika langsung tiada pilihan. Anak ikan suka bermain didasar aquarium dan berkemungkinan boleh mennyebabkan dropeye. Satu lagi arowana saya suka kejar-kejar anak ikan sampai lembik lepastu mati, makannya tidak, rugi. 




Cicak
Makanan percuma, nak dapat cukup mudah, kat rumah selak belakang langsir gerenti ada satu atau dua ekor. Jika arowana anda bersaiz 10 inci keatas boleh bagi makan cicak, jika kecil elakkan bagi, takut-takut mati tercekik cicak...

Lipan
Menu 1st class untuk arowana anda. Lipan bara menu terbaik, tetapi nak dapat bukan senang, nak dapatkan lipan bara di kedai pun susah. Dipercayai khasiat lipan dapat mencantikkan dan menaikkan warna sisik arowana anda.

WAKTU MASA MAKAN 
Bagi saya bagilah ikan kesayangan anda 2 kali sehari. Pagi dan petang, jika ikan kecil berilah 2 ekor cengkerik setiap kali makan, jika ikan anda sudah besar berilah 3 - 4 ekor sekali makan. Dari pemerhatian saya ikan yang diberi makanan yang mencukupi ia sihat dan aktif. Jika terlebih makan ikan anda memang akan cepat membesar tapi yang tak bestnya air anda cepat kotor, jadi terpaksalah tukar air sekerap mungkin....