Isnin, 28 November 2016

2016 di penghujungnya...

Askm semua..

Dah lama tak jenguk blog sendiri, sesungguhnya cepat sungguh masa berlalu. Semakin meningkat umur semakin pendeklah umurku, ntah esok atau lusa aku bakal dijemput Illahi. Tanggal 7.6.2016 tarikh yang tidak akan dilupakan selagi Allah memanjangkan usiaku. Ketika semua umat islam meraikan kedatangan bulan yang penuh keberkatan, pada hari kedua Ramadhan abah dijemput menghadap Illahi. Sesungguhnya kematian abah sangat mengejut. Semua rakan dan kenalannya bagaikan tidak percaya yang abah sudah tiada. Apa pun kematian itu pasti., Alhamdulillah abah meninggal dengan cukup mudah..

Dalam tahun ini juga hasrat untuk menambah bilangan anggota keluarga juga tidak tercapai. Isteri kesayangan gugur pada usia 11 minggu. Bagai ada yang tak berapa kena kehamilan kali ini aku rasakan biasa sahaja, tiada yang excited sangat. Apa pun syukur dengan sepasang cahaya mata yang cukup menceriakan suasana yang kadangkala tak termampu nak buat apa-apa sebab perangai mereka yang sukar dijangka.

Disebalik kedukaan ini Allah Taala tambahkan pula rezeki rumah tamu. Sejak berkolaberasi dengan aziz homestay Alhamdulillah boleh dikatakan ada sahaja tetamu setiap minggu. Setelah ditolak komisen dan upah bersih rumah dapat la 50% keuntungan. Jadilah sapa nak bagi disaat semua orang sibuk partime sana sini cari duit aku dipermudahkan oleh Allah untuk dapat rezeki, dalam kata lain senang-senang boleh duit.

Apa-apa pun Allah Taala berfirman " Jika kamu bersyukur atas nikmat pemberianKu nescaya Aku akan tambahkan lagi, jika kamu kufur azabKu amatlah pedih". Alhamdulillah rezeki yang dikurniakan dikongsi bersama termasuk keluarga, sahabat dan mereka yang memerlukan.

Tahun 2017 bakal muncul dimana Donald Trump, yang terkenal dengan program realiti yang ntah apa-apa memenangai kerusi presiden US. Maka macam-macamlah teori konspirasi terutamanya orang-orang melayu. Nak cerita lebih-lebih malas, tapi aku yakin dan percaya hanya Allah yang maha mengetahui segala-galanya. Masa mula Barack Obama jadi president US ramai ustaz dan ustazah jadian mengeluarkan teori inilah manusia habsyi yang bakal meruntuhkan Kaabah. Memang sekarang dunia dipenghujung zaman, tapi dah-dah la buat dakwaan dan teori yang ntah apa-apa.

Kita tengok 2017 macam mana, orang kata Donald Trumph anti islam, tapi siapa pun president US telah ditetapkan oleh orang-orang yahudi sendiri, tak kira la kau orang republican atau demokrat. Ringgit makin menjunam tapi PM tetap rilex, itu semua sekejap jer nanti keadaan akan pulih. Ledakkan teknologi media sosial seperti wasup, Fb dan lain-lain. Yahudi buat benda-benda ini bukan suka-suka, mesti ada kepentingan di pihak mereka.

Yang tua atau muda leka berwasup, silap-silap masam muka sebab wasup bunyi double meaning. Faham-faham jer la orang tua, ayat dia orang tak sama dengan ayat budak-budak sekarang. Lagi best bila geng suri rumah sibuk berwasup tak kira masa, ajak buat program bagai. Tolong jangan marah kalau geng2 ibu yang bekerja ni tak boleh join, sebab hari sabtu dan ahad sahaja nak rilex, bukan macam kau yang memang tak de kerja. Cabut bulu ketiak sepanjang hari..




Rabu, 12 Ogos 2015

Dah nasib....

Assalamualaikum.....

Dah lama tak jenguk blog sendiri, sibuk juga dengan final student, banyak benda nak buat, nak masuk masuk markah, generate result, ricih kertas soalan dan macam-macam lagi. Tambahan pula sekarang bulan Ramadhan yang didalamnya terkandung segala macam kelebihan yang tiada dalam bulan-bulan lain. Ramadhan juga menuntut kesabaran yang tinggi...banyak betul cubaan
Teringat kata - kata Ustaz Mahmud Mat dalam tazkirah Ramadhan malam tadi..semua orang betul-betul jaga benda yang boleh membatalkan puasa, tapi ramai yang buat-buat tak tahu atau langsung tak peduli berkaitan benda-benda yang boleh mengurangkan pahala puasa...makan dalam betul, aku malas nak hurai, pandai-pandai la kamu muhasabah diri sendiri.
Direct to the point, inilah nasib pekerja bawahan, biarkan memberi pandangan yang betul jika kena pada bos yang memang hati batu ( moga Allah beri hidayah ), memang susah. ayat power saya tak nak dengar masalah, saya tahu masalah selesai. Lebih buruk lagi ada tukang penambah perisa.. memang jahanam jabatan.
Aku malas nak cakap lebih, kalau aku jadi bos belum tentu adil pada semua staff, tapi manusia ada otak dan akal. Akal yang membezakan manusia dan lembu, bab ni aku pun malas nak cakap apa-apa. Jangan salahkan sapa-sapa kalau anak degil, rezeki asyik tak cukup, dan mengeluh sepanjang masa. Bukan apa kalau orang tak kacau aku aku pun tak nak kacau orang.
Aku cukup happy dengan kerja sekarang walaupun penat sikit tapi puas, banyak benda aku tahu. Overload kerja tu biasa la, maklumlah kerja bermusim tapi yang tak bestnya kena tambah buat kerja orang lain. Kalau tak siap nak marah pun marah lah nak buat mcm mana, saya ada 2 tangan dan 2 kaki sahaja...
Kalau ada menteri yang baca blog aku nie bacalah, cukuplah tak kenyang-kenyang makan duit rakyat, buat lagi sistem KV kat ilp yang totally 100% reject. Budak reject masuk kv pun kamu orang nak mintak layan mintak budak2 MRSM....silap besar tu. Zaman aku sekolah vokay dulu setakat penampar, sepak, sebat tu mainan. Kalau tak kena salah satu memang korang budak baik.
Budak dah satu hal, KPM dan LPM pun boleh tahan juga. Soalan semua nak rahsia, semua kena download lepastu kena photostat sendiri. Permudahkanlah sistem yang ada, aku bukan nak fokus ke kv sahaja tapi banyak benda lagi. Jabatan sendiri usah tanya la....ISO lagi, 5S, periksa, kena ngajar lagi.......
Sebelum ini semua sistem kv diserahkan pada cikgu mereka, last2 aku yang kena balik, alasan mereka ilp lain upp yang buat. Aku ingat lagi mereka berpegang pada ayat " kami hanya mengajar akademik sahaja, yang lain tak buat, kat sini semua kami kena buat ". Ayat tersebut tidak layak keluar dari mulut seorang pendidik. Di ilp tiada mesyuarat PIBG, tiada sukan tahunan, tiada perkhemahan tahunan.Kerja kamu cukup relax takkan 56 orang pelajar pun nak mengeluh.
Kamu orang semua pemegang ijazah terhormat, gaji kamu pun besar, aku pulak gred 29 sahaja, tapi dalam ini aku pulak yang kena lebih. Aku berani cakap kamu kat sini terlalu banyak rilex, pengarah dan tpl pun tak nak ambik port sangat. Kat sekolah biasa lewat masuk kelas sikit pun terkencing nak menjawab dengan pengetua dan gpk 1. Tak apa lah, nak buat mcm mana, aku tetap lawan dan terus lawan. Selagi aku mampu bersuara aku masih lagi nak buat kerja, kalau aku dah diam jangan tanya....


Rabu, 29 April 2015

Pusingan Kehidupan...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Felda dan orang melayu memang tidak boleh dipisahkan. Penubuhan Felda oleh Allahyarham Tun Abd Razak telah banyak merubah nasib orang melayu. Sejarah mereka yang terdahulu selaku perintis pembukaan tanah felda cukup sengsara. Dengan tulang empat kerat hutan belantara di bersihkan, kehidupan jauh diceruk pedalaman, bekalan air dan elektrik jauh sekali tiada.
Felda Lepar Hilir 2 mula dibuka kepada peneroka pada tahun 1983. Mereka ini datangnya dari seluruh pelusuk negeri, kebanyakan yang datang semua dikategorikan miskin, kalau ada motor honda c 60, kalau ada kereta toyota KE30 atau datsun tonggek dah kira kaya la sangat, yang selebihnya kayuh basikal tua atau jalan kaki sahaja. Pagi-pagi kena rollcall kt pejabat felda, ketua blok kena pastikan anak buah ada, sebab ada yang tak tahan lari balik kampung.
Bekalan elektrik memang tiada,bekalan air ada, itu pun terhad, mereka yang dapat rumah di kawasan rendah dapat la air paip, yang di kawasan tinggi jangan harap la. Jalan raya tidak berturap, sepenuhnya tanah merah, kalau musim kemarau berdebu, musim hujan becak, lagi best kalau baru diratakan kemudian hujan. Memang terbaik....faham-faham ajelah
Rata-rata anak peneroka tidak dapat bersekolah ke peringkat lebih tinggi disebabkan kekangan kewangan, sekadar tingkatan 3 pun dah kira hebat, yang ramai setakat darjah 6, boleh membaca dan mengira sahaja, anak peneroka tiada masa nak buat benda tak ada faedah, sabtu dan ahad pergi ladang,kutip getah sekerap. Disebabkan terpaksa tolong ayah pergi ladang aku pernah kena sound dengan seorang cikgu yang akan ingat sampai mati ayat dia...
Kalau kamu nak pandai tengok macam sipolan,sipolan dan sipolan, sabtu ahad datang tusyen kat rumah cikgu bukan habiskan masa kat ladang getah, nak cari duit pandailah ayah kamu cari...
Kata-kata cikgu tersebut menyebabkan aku tersangat malu sebab ayah aku miskin, rupanya kalau kita miskin dan tiada pelajaran orang langsung tak hormat, sepanjang masa tertindas, tapi sekarang aku bukan nak cakap besar atau sombong, budak yang dia banggakan dan agungkan sangat tak kemana pun..malah lebih teruk dari aku yang tak berapa cerdik nie. Kalau dia jumpa aku dan bertanya sekarang kerja apa, jawapan aku mudah sahaja, tak kerja pun sekadar jaga kampung, lagi pun anak peneroka bukan boleh kemana pun......
Sekarang ini kehidupan peneroka berubah secara keseluruhannya, rumah pun besar, mampu memiliki kereta dan menunaikan fardhu haji, satu perkara yang sangat mustahil untuk di capai kira-kira 25 tahun lepas. Anak anak juga berjaya dalam kerjaya masing-masing, buktinya musim hari raya, penuh rumah dengan kereta-kereta mewah. Benarlah sesungguhnya Allah Taala tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mahu berubah....


Rabu, 15 April 2015

GST

Assalamualaikum dan salams sejahtera, 1 April 2015 pasti menjadi lipatan sejarah yang akan terus kekal dalam ingatan rakyat Malaysia, pelaksanaan cukai GST, nak komen lebih-lebih malas, nanti kena banned, jadi terima sahaja walaupun rela dalam paksa. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki buat saya dan keluarga terutamanya buat Anis dan Luqman. Terima kasih buat tuan / puan yang sudi menginap di Anis Guest House. Seperti yang dijanjikan tambahan satu unit aircond untuk bilik kedua telah di pasang, begitu juga pemasangan penapis air dan seterusnya satu kerusi simenfero dan bbq set untuk tuan / puan ( dijangka sampai 25 / 4 / 2015 ). Bajet untuk pasang tiles di kawasan parking dah ada tapi kontraktor yang nak pasang sibuk sangat ( katanya ). Biasalah ada projek besar projek kecil tolak tepi, tak de projek yang kecil-kecil boleh untung RM 0.10 pun dia orang sapu. Itulah realitinya. Gambar nanti upload... Seperti yang dijanjikan harga masih di takuk lama RM 200 semalam. Lebih semalam boleh la nego tipis-tips, nak bagi lagi rendah memang tak dapat, tak bestla berniaga potong harga kawan-kawan yang lain. Saya juga memohon ribuan kemaafan kepada 2 buah keluarga yang menyewa pada 11 dan 12-14 / 4 / 2015 disebabkan masalah aircond yang tidak berfungsi dengan baik disebabkan masalah kebocoran gas. Begitu juga masalah terputus bekalan air pada 13 / 4 / 2015. Saya sendiri pun tidak menjangka aircond yang baru dipasang belum cukup sebulan tidak dapat berfungsi dengan baik. Tentang masalah bekalan air sememangnya sejak JBA Pahang dikopratkan perkhidmatan bekalan air terus hancus....air tiada dah jadi perkara biasa.

p/s :  Syukurlah Malaysia masih aman, nak lebih aman minta kerakyatan Zimbabwe

Jumaat, 20 Mac 2015

Goreng Pisang Cheese

Askm dan Salam Sejahtera, Rakyat Malaysia memang cukup kreatif cari duit lebih, nak-nak pulak GST dah nak sampai. Semua benda kena cukai, kepada pak menteri tak pe lah, setakat buat rambut pun dah lebih dari gaji pembantu am apa lah sangat. Di bandar kuantan ramai peniaga yang dah buka perniagaan goreng pisang cheese, asalnya goreng pisang sahaja, pastu tambah susu sejat, letak cheese parut menggunung, tambah lagi cokelat rice....pergh memang mantop. Kepada yang menggemari goreng pisang cheese berpada-pada makan, kalori yang terdapat pada goreng pisang cheese teramat tinggi. Kalau yang malas exercise makan sikit-sikit dah la, kalau sakit nanti semua kena pantang. Mencegah lebih baik dari merawat.

Selasa, 17 Mac 2015

Kena tipu lagi daa....

Askm dan salam sejahtera....

Musim cuti sekolah datang lagi, boleh dikatakan setiap hari ada saja pertanyaan untuk tempahan terutama dari hari jumaat sampai ahad. Macam biasalah sapa dulu dia dapat, tapi yang tak bestnya tak inform pun tak jadi datang, bila call tak angkat, mesej pun tak balas. Memang mendatangkan marah nie, tapi tak apa biasalah adat berniaga tak selalunya untung, rugi itu memang wajib.
Nak dijadikan cerita dalam hujung bulan 2 ada call dari seorang perempuan yang berminat untuk sewa rumah tamu dari 12 - 14 Mac, memang betul-betul serius nak, tak cukup call mesej lagi... jangan bagi orang lain untuk tarikh tu, saya betul2 nak nie, sekarang pun saya boleh deposit untuk confirmation..ok 
Sejujurnya saya memang tidak minta deposit kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi kemudian hari, kematian atau perkara yang tidak boleh dielakkan, cuma apa yang di harapkan agar tolonglah inform awal kalau tak jadi datang. Tak kiralah telefon atau mesej, tapi tak apa...
InyaAllah rezeki Allah Taala itu ada dimana - mana sahaja...

p/s : Kalau hidup tak memberikan faedah kepada orang lain jangan menyusahkan orang            lain.

Ahad, 15 Februari 2015

AROWANA


Assalamualaikum....



Tahun 2015 telah tiba, nampaknya umur pun semakin meningkat dan semakin berusialah jawapnya. Ikan arowana atau kelisa pastinya mempunyai peminat yang tersendiri. Lintuk liuk badanya serta pantulan cahaya dari sisiknya pastinya membuat anda terpegun, tapi jangan anda lupa itulah salah satu kebesaran sang pencipta-Nya iaitu ALLAH TAALA..

Awal tahun 2000 populariti ikan arowana agak menurun dengan kehadiran ikan berdahi benjol ( flower horn ), ada harganya yang mencecah sehingga RM 40k. Hari ini ikan flower horn sudah tiada lagi nilainya...kalau tanya tokey kedai ikan semua geleng kepala, itu ikan orang sudah tidak mau, jadi jangan hairan kalau mancing kat tasik atau lombong dapat ikan flower horn.

Ramai yang beranggapan ikan arowana susah nak jaga, manja dan sebagainya, tapi sebelum buat satu-satu benda pasti ada risikonya. Saya mula membela arowana pada tahun 2012 dengan membeli seekor banjar red tail arowana dengan harga RM 440 ( F 2 ) ,masa itu ilmu tak ada,ingat dah murah la padahal punyalah mahal. Ikan tersebut mempunyai sijil dan diimport terus dari kalimantan. Sayangnya sudah ditakdirkan hayat ikan tersebut tidak lama, mati disebabkan kesilapan saya sendiri....sebabnya nanti akan diceritakan.

Merajuk kejap dengan arowana dengan membela ikan kaloi,puyu dan lampam, yang tak tahan kuat makan, air cepat kelabu dan berbau. Tak tahan tukar ikan haruan, spesis yang memang brutal dan tahan lasak tapi satu kurang. Malas nak berenang, suka duduk diam. Aktif berenang bila banyak makanan terutama anak ikan. Rasanya makan dah cukup tapi saiz macam itu jugak....

Setiap kali membeli anak ikan untuk makanan ikan haruan, pastinya kelibat arowana tetap menjadi perhatian, seronok melihat aksinya-aksinya yang melintuk lintuk.....tapi hati kata sabar dulu, cedok ilmu banyak-banyak. Terima kasih juga kepada group facebook Ikan Kelisa & Arowana dan blog-blog individu yang banyak berkongsi maklumat dan minat tentang ikan arowana.

PERALATAN ASAS 

Aquarium
Nak bela ikan mestilah ada aquarium. Kalau boleh belilah aquarium bersaiz 3kaki X 1.5kaki dan keatas sebab dari pemerhatian saya saiz aquarium membantu mempercepatkan kadar pembesaran ikan anda. Ikan arowana sememangnya cepat membesar jika diberikan makanan yang cukup dan berkahsiat. Bayangkan jika diri anda dikurung dalam bilik yang cukup-cukup untuk saiz anda, selesa atau tidak. Kebiasaannya aquarium didatangkan dalam pakej lengkap seperti penutup, pam dan stand..jadi tepuk poket tengok bajet anda.

Penapis ( Filteration )
Penapis air sangat penting untuk memastikan arowana anda mendapat air yang terbaik. Banyak jenis penapis, ada yang tergantung diatas aquarium, ada yang tenggelam didalam aquarium dan yang diluar aquarium. Untuk penapis jenis top media penapis seperti kapas atau span sudah memadai. Jika ada bajet lebih tukar satu kali dalam tempoh 2 minggu. Jika ditanya jenis apa yang terbaik sudah pastilah jenis canister. Jenis canister sememangnya lengkap dengan media penapis dan paling penting lengkap dengan media yang meningkat dan menjaga mutu air. Jika tiada modal gunakalah top filter dan menjadi kewajipan untuk menservis media penapis setiap minggu.

Pam
Pam aquarium wajib ada. Berfungsi untuk mengepam dan mengasingkan kotoran seperti tahi ikan lebihan makanan pam juga membekalkan oksigen terlarut dalam air. Jika aquarium bersaiz 3 kaki hingga 4 kaki carilah pam yang mampu mengepam air 2700 liter sejam dan keatas. Pakai 3500 liter pun ok, cuma power sangat, sampai ikan bandaraya pun kena sedut. Saya lebih suka menggunakan pam yang ditenggelamkan di dasar aquarium kerana pam jenis ini kerana ia menghasilkan arus yang secara tidak langsung memberikan rangsangan kepada ikan. Dalam kata lain ikan aktif kerana sentiasa bergerak    ( berenang ). Teori sendiri....

* Satu inlet untuk menyedut kotoran ke penapis dan satu outlet untuk menyalurkan oksigen kedalam air.

Garam aquarium
Agak pelik kerana arowana ikan air tawar kenapa perlu garam, tetapi itulah hakikatnya, tanpa garam pasti terbalik keatas arowana anda. Tiada spesifik garam yang terbaik untuk arowana anda, garam biasa pun letak. Menurut pandangan seorang pemilik kedai menjual arowana garam terbaik ialah garam kristal. Jika aquarium anda bersaiz 4 kaki sudah memadai jika meletakkan 2 genggam garam kedalam aquarium anda. Letak 3 genggam pun ok.



Anti klorin / Tension Gone
Jangan lupa anti klorin. Air paip sememangnya mengandungi klorin, arowana anda pasti terbalik jika tiada anti klorin. Saya lebih suka menggunakan Tension Gone sebabnya dua dalam satu. Pertama ia menghilangkan unsur klorin dan yang kedua untuk menenangkan ikan. Arowana cukup sensitif dengan perubahan sesuatu tempat. Sikap arowana boleh menjadi agresif sehingga mencederakan badannya dan lebih parah lagi arowana boleh mati. Perlu dijauhkan dari mereka yang selalu tension....gurauan sahaja



PERALATAN SAMPINGAN

Ph Test Kit
Ramai yang tidak peka atau tentang kualiti air terutama dari segi ph air. Arowana hidup memerlukan air yang beralkali sekitar 5.5 - 7. Hasil dari nasihat kawan-kawan saya mencadang ph test kit dari jenis API. Keputusan tepat dan murah. Jika ph air turun sebenarnya tidak menjejaskan kesihatan ikan cuma ikan hilang selera makan jadi malas dan jika silap ikan boleh mati... itu pun jika sampai ajalnya. Test ph air aquarium anda sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.



Bio Ring / Ceramik Ring / Bio Ball
Mengikut pengalaman dari group ikan kelisa dan arowana agen-agen diatas mampu memberikan kesan terhadap kualiti air terutamanya dari segi kejernihan air dan oksigen terlarut dalam air. Dari segi keberkesanannya saya no komen, lagi pun bukannya keperluan asas pun.. ( sekadar pandangan sahaja )



Sea Coral
Tahap ph air semestinya akan menurun dari masa kesemasa disebabkan tahi ikan dan lebihan sisa makanan. Jangan panik, letakkan coral kedalam aquarium anda dan biarkan lebih kurang 48 jam. Hasilnya air yang sebelumnya menunjukkan ph yang rendah kembali menjadi normal. Sebelum itu basuh dan rendam seketika coral untuk membuang sisa pasir yang melekat pada coral. Keluarkan coral setelah ph air aquarium anda kembali normal.

Heater
Dah nama pun heater mestilah untuk memanaskan air. Heater bukanlah aksesori wajib, tapi wajib ada jika ikan anda sakit. Perubahan sikap arowana jelas ketara ketika musim hujan. Ikan banyak berdiam dan menyembunyikan diri pada musim hujan. Berkemungkinan suhu air jatuh. Setkan suhu air sekitar 28 darjah celcius sehingga 32 darjah celcius.


Uv light
Bertindak untuk menghalang lumut / alga hidup dalam aquarium. Bukan menjadi pilihan saya, lagi pun aquarium saya terlindung sepenuhnya dari cahaya matahari.

Vitamin
Bukan manusia juga perlu vitamin tapi ikan pun nak vitamin juga. Banyak vitamin untuk ikan anda dipasaran, bagi saya jika ikan diberi makan yang cukup dan berkhasiat, monitor parameter air, rajin tukar air ( sekurang-kurangnya 2 minggu sekali ), InsyaAllah ikan anda sihat dan aktif.

MEMILIH AROWANA

Saya sebenarnya bukanlah arif dan mahir untuk memilih baka arowana terbaik, dan hingga kini saya masih mencari dan berkongsi maklumat untuk mendapatkan baka yang terbaik. Untuk permulaan ramai yang mencuba membela arowana perak atau hijau kerana harganya murah, saiz 3 - 5 inci dibawah RM 100 sahaja. Itu memang betul, tapi jika anda terlihat arowana dari spesis lain pastinya anda terkedu seketika, kalau aku tahu baik bela baka ini dari awal, baru puas hati.
Saya mencadangkan untuk mereka yang mula membela arowana macam saya membeli dari spesis highback gold. Spesis ini paling murah dari kalangan arowana gold yang lain.Di kedai ikan saiz dari 5 - 7 inci boleh didapati sekitar RM 300 - RM 400 sahaja, manakala di online seperti mudah, arowana beeding center dan lain-lain harga mungkin lagi murah, anda boleh pilih dimana yang anda suka..
SETTING AQUARIUM 
Sebelum melepaskan arowana, tips atau peringatan tersebut saya kongsikan, itu pun sekadar perkongsian dan ilmu dari mereka-mereka yang sudah lama membela arowana.
  1. Letakkan aquarium disudut rumah yang bersesuaian supaya rumah tidak nampak serabut. Buat pendawaian elektrik khusus untuk set aquarium. Keadaan wayar yang serabut cukup merbahaya kepada anda dan lebih merbahaya kepada anak anda.
  2. Masukkan air kira-kira 80 % dari ketinggian aquarium. Hidupkan pam dan biarkan sistem pam dan penapisan berfungsi sekurang-kurangnya untuk 2 hari. Lagi lama lagi bagus terutama untuk setup aquarium baru.
  3. Tukar air dan masukkan garam dan tension gone. Kuantiti garam dan tension gone telah diterangkan terdahulu. Untuk ketinggian aquarium 1.5 kaki saya meletakkan air setinggi kira-kira 80% ketinggian aquarium. Sebabnya jika air yang diisikan rendah jarak air yang turun dari penapis agak tinggi. Berkemungkinan arowana boleh terganggu.( itu pendapat  saya ).
  4. Biarkan set aquarium anda berfungsi kira-kira selama 2 hari. Sehari sebelum memasukkan arowana lebih baik lepaskan anak-anak kap yang bersaiz kecil kedalam aquarium anda. Jika anak-anak ikan itu hidup InsyaAllah arowana anda juga akan hidup.
  5. Arowana yang dibeli pastinya diletakkan didalam beg plastik yang dipamkan gas oksigen kedalamnya. Setibanya dirumah jangan terus tuang arowana anda kedalam aquarium, rendam beg plastik yang mengandungi arowana kedalam aquarium anda. Jika jarak kedai dan rumah anda kira-kira 1 jam perjalanan biarkan begplastik didalam aquarium dalam anggaran 30 minit. 
  6. Sebenarnya saya sendiri pun confius mana satu petua yang betul, ada yang mengatakan jika perjalanan arowana jauh ia memerlukan kira - kira lebih dari 1 jam direndam didalam aquarium. Buka getah yang mengikat plastik beg dan masukkan sedikit-sedikit air aquarium kedalam beg plastik dan biarkan kira-kira 15 minit.
  7. Perlahan - lahan lepaskan arowana didalam beg plastik kedalam aquarium. Ada kalanya arowana berenang tak tentu hala, biarkan ia tenang dan jangan ketuk cermin .Puasakan ikan dalam tempoh 1 - 2 hari.
PEMAKANAN AROWANA

Cengkerik
Menu terbaik untuk arowana. Selain murah ia lengkap dengan nutrisi yang diperlukan oleh arowana.( ambik info dari blog orang lain ) Cengkerik juga tidak tenggelam didasar aquarium yang boleh menyebabkan sindrom dropeye. Carilah cengkerik yang muda ( tiada sayap ). Saya lebih suka membuang bahagian kaki yang tajam sebab berkemungkinan boleh mencederakan sistem pencernaan arowana. Keduanya cengkerik tak boleh melompat bebas, boleh bubuh cengkerik dalam bekas terbuka ( dalam bekas tuperware biasa ).Elakkan dari membeli cengkerik yang bersaiz tidak seragam sebab cengkerik merupakan spesis kanibal dan jika dikurung dalam bekas,kalau mati dia punya bau.....boleh pengsan. Di kuantan RM 1 cengkerik dapatla 40 ekor, boleh tahan 3 - 4 hari. Cebisan kertas dijadikan makanan cengkerik. Ada teori nak mencantikkan sisik arowana bagi cengkerik makan lobak merah...betul atau tidak, boleh cuba.



Ulat Roti
Menu kedua pilihan saya. RM1 dapatlah 15 - 20 ekor ulat bersaiz besar. Antara menu yang boleh menjadikan arowana anda cepat besar, tapi jangan bagi selalu takut-takut nanti cepat gendut. ( teori ciptaan sendiri )


Anak ikan
Menu terakhir jika langsung tiada pilihan. Anak ikan suka bermain didasar aquarium dan berkemungkinan boleh mennyebabkan dropeye. Satu lagi arowana saya suka kejar-kejar anak ikan sampai lembik lepastu mati, makannya tidak, rugi. 




Cicak
Makanan percuma, nak dapat cukup mudah, kat rumah selak belakang langsir gerenti ada satu atau dua ekor. Jika arowana anda bersaiz 10 inci keatas boleh bagi makan cicak, jika kecil elakkan bagi, takut-takut mati tercekik cicak...

Lipan
Menu 1st class untuk arowana anda. Lipan bara menu terbaik, tetapi nak dapat bukan senang, nak dapatkan lipan bara di kedai pun susah. Dipercayai khasiat lipan dapat mencantikkan dan menaikkan warna sisik arowana anda.

WAKTU MASA MAKAN 
Bagi saya bagilah ikan kesayangan anda 2 kali sehari. Pagi dan petang, jika ikan kecil berilah 2 ekor cengkerik setiap kali makan, jika ikan anda sudah besar berilah 3 - 4 ekor sekali makan. Dari pemerhatian saya ikan yang diberi makanan yang mencukupi ia sihat dan aktif. Jika terlebih makan ikan anda memang akan cepat membesar tapi yang tak bestnya air anda cepat kotor, jadi terpaksalah tukar air sekerap mungkin....